ISU SEMASA

Keluhuran Perlembagaan Persekutuan kini sedang dipermainkan

Perlembagaan Persekutuan Artikel 43
(2) jemaah Menteri hendaklah dilantik seperti yang berikut, iaitu:
(a) Yang Di Pertuan Agong hendaklah terlebih dahulu melantik sebagai Perdana Menteri untuk mempengerusikan jemaah Menteri seorang ahli Dewan rakyat yang pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan rakyat itu;

Kenyataan yang dikeluarkan oleh Perdana Menteri Interim Tun Dr Mahathir pada 26hb dan 27h Februari 2020 agak tidak bertepatan dengan artikel Perlembagaan Persekutuan.

Kuasa melantik Perdana Menteri dan Jemaah Menteri adalah di bawah kuasa Duli Yang Maha Mulia Yang Dipertuan Agong apabila Duli Yang Maha Mulia Yang Dipertuan Agong telah mendapat kepercayaan bahawa sesiapa yang dilantik menjadi Perdana Menteri telah mendapat kepercayaan Majoriti Ahli Dewan Rakyat.

Pada 25.2.2020 Duli Yang Maha Mulia Yang Dipertuan Agong telah memperkenan untuk berjumpa dengan setiap Ahli Dewan Rakyat bagi mendapat pandangan majoriti Ahli Dewan Rakyat dalam melantik siapa menjadi Perdana Menteri.

Tindakan YAB Tun Dr Mahathir ini seolah-olah melanggar ketetapan yang telah diperkenankan oleh Duli Yang Maha Mulia Yang Dipertuan Agong. Cubaan YAB Tun Dr Mahathir meminta izin kepada Ahli Dewan Rakyat untuk membentuk kerajaan Perpaduan jelas melanggar ketetapan Duli Yang Maha Mulia Yang Dipertuan Agong dan cuba untuk mendapat sokongan majoriti dengan kaedah lain setelah Duli Yang Maha Mulia Yang Dipertuan Agong mendengar pandangan kesemua Ahli Dewan Rakyat pada 25.2.2020 dan 26.2.2020.

Adakah ini cubaan pintu belakang?

Pada 27.2.2020 sekali lagi YAB Tun Dr Mahathir Perdana Menteri Interim telah mengeluarkan pernyataan selepas mengumumkan pakej rangsangan ekonomi di mana beliau menyatakan sekali lagi Duli Yang Maha Mulia Yang Dipertuan Agong tidak dapat jumlah majoriti Ahli Dewan Rakyat dalam melantik Perdana Menteri yang baharu dan perlu mengadakan sidang khas Parlimen bagi mengundi Perdana Menteri Baharu dan sekiranya tidak ada sesiapa mendapat majoriti bermakna pilihanraya semula akan diadakan.

Perlu diingat Perdana Menteri Interim hanya melaksanakan tugas-tugas pentadbiran yang sedia ada. Tidak boleh Perdana Menteri Interim mengguna pakai kuasa Perdana Menteri sebenar. Perdana Menteri interim hanya dibenarkan menggunakan kuasa yang diperkenankan oleh Duli Yang Maha Mulia Yang Dipertuan Agong. Tindakan YAB Perdana Menteri Interim ini tidak selaras dengan artikel 40(2),40(3) dan 43(5) Perlembagaan Persekutuan.

Lebih memburukkan keadaan apabila beliau memaklumkan keputusan tiada majoriti dan mencadangkan undian di Dewan Rakyat sedangkan Duli Yang Maha Mulia Yang Dipertuan Agong masih belum memberikan sebarang keputusan.

Tindakan ini jelas meletakkan satu kecelaruan dalam menafsir Perlembagaan Persekutuan dalam kedudukan kuasa Perdana Menteri Interim yang hanya mempunyai kuasa setakat mana Duli Yang Maha Mulia Yang Dipertuan Agong perkenankan sahaja. YAB Tun Dr Mahathir tidak boleh sesekali menjangkaui kuasa yang telah diberikan oleh Duli Yang Maha Mulia Yang Dipertuan Agong.

Kedudukan YAB Tun Dr Mahathir kini hanyalah Perdana Menteri Interim dan bukan Perdana Menteri yang disahkan oleh Duli Yang Maha Mulia Yang Dipertuan Agong memiliki sokongan majoriti anggota Dewan Rakyat.

Beliau tidak seharusnya menggunakan kedudukan itu untuk mempengaruhi ahli dewan rakyat menyokong beliau dalam membentuk kerajaan Perpaduan dan mengumumkan sidang khas Parlimen kerana Perdana Menteri Interim tidak ada kuasa tersebut.

Dalam persoalan ini hanya Duli Yang Maha Mulia Yang Dipertuan Agong sahaja boleh membuat keputusan dan merungkaikan masalah yang timbul ini atas prinsip sistem demokrasi Raja Berperlembagaan.

Khairul Anuar bin Musa
Peguambela & Peguamcara /
Ketua Unit Literasi Undang-Undang
Pertubuhan Akademi Pendidikan Demokrasi dan Kewarganegaraan Malaysia (APDK)

kredit : malaysiagazette

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *