ISU SEMASA

INSAN Kesal Tun M melangkaui institusi diraja umum keputusan istana

INSAN Malaysia menuntut Tun Dr. Mahathir Mohamad memohon maaf kepada Yang Di-pertuan Agong (YDPA).

Ia ekoran kenyataan perdana menteri interim itu didakwa melangkaui institusi diraja, kata Presiden INSAN Malaysia, Datuk Kamis Al Hakim.

“Mengikuti kenyataan media oleh Mahathir lewat petang tadi, kami INSAN Malaysia merasa amat berdukacita dan kecewa kerana kenyataan Tun telah melangkaui institusi raja,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum itu, Mahathir dalam kenyataannya berkata, keputusan memilih perdana menteri akan diputuskan oleh parlimen dan telah diputuskan oleh YDPA dalam satu pertemuan dengannya pagi tadi.

“Umum mengetahui kemelut politik yang ketika ini melanda negara sehingga memaksa YDPA campur tangan dan membuat keputusan berdasarkan hemat Agong.

“Seramai 222 anggota Dewan Rakyat yang telah ditemuramah oleh Seri Paduka telah pun selesai namun Seri Paduka masih belum mengumumkan apa-apa keputusan rasmi dari istana,” katanya.

Tindakan Mahathir yang mengeluarkan kenyataan sebelum daripada Mesyuarat Majlis Raja-Raja adalah suatu tindakan derhaka dan tidak wajar.

“Kami di pihak INSAN Malaysia berdiri teguh di belakang YDP dengan apa sahaja keputusan Seri Paduka,” katanya lagi.- MalaysiaGazette

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *