ISU SEMASA

Perbincangan tertutup di rumah Perdana Menteri

KEPEMIMPINAN utama PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (AMANAH) dikatakan mengadakan pertemuan tertutup dengan Tun Dr Mahathir Mohamad, pagi ini, lapor BH Online.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden AMANAH, Mohamad Sabu difahamkan tiba di kediaman Perdana Menteri di sini, kira-kira 11 pagi tadi.

Pertemuan tertutup itu dipercayai bagi membincangkan keadaan terkini politik negara, susulan spekulasi wujud gabungan baru Kerajaan Pusat.

Ketika ini, pekarangan kediaman Dr Mahathir dikawal rapi pasukan polis yang ditempatkan di semua pintu masuk, selain petugas media tidak dibenarkan masuk ke rumah Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) itu.

Artikel lain

Tunggu titah, keputusan Agong – AMANAH

PARTI Amanah Negara (AMANAH) masih berpegang kepada pemuafakatan yang dibuat bersama dalam Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH), kata Pengarah Strategi Parti Amanah Negara (AMANAH) Datuk Dr Dzulkefly Ahmad.

Beliau yang juga Menteri Kesihatan berkata, ketika ini wajar untuk menantikan titah dan keputusan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk sebarang keputusan mengenai desas-desus pembentukan kuasa politik baharu negara.

Beliau turut difahamkan bahawa Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menghadap Al-Sultan Abdullah hari ini, namun tidak memperincikan tentang pertemuan itu.

“Kita (PH) masih kerajaan dan apapun (sebarang keputusan) kita wajar nantikan titah dan keputusan oleh Yang di-Pertuan Agong.

“Kita masih lagi menjalankan tugas-tugas, tidak ada apa perubahan.

“Yang pentingnya kita berpegang dan bersandarkan kepada keputusan yang dibuat bersama dalam Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH),” katanya kepada media selepas melancarkan Seminar dan Kempen Kesedaran Pengurusan Kelesuan Peringkat Kebangsaan Untuk Anggota Kesihatan di Kuala Lumpur, hari ini.

Yang turut hadir, Naib Presiden AMANAH Datuk Mahfuz Omar.

Sumber : harian metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *